Assalaamu ‘alaikum semua. Salam sejahtera.
Jadi, ceritanya,
Selama ni KakRaja tak pernah kisah pun hal-hal ginseng ni. Malah semasa di Hong Kong beberapa tahun dulu pun KakRaja melawat tempat ginseng. Punyalah tak meninggalkan impak pada KakRaja, dah terlupa pun apa yang dikongsikan masa tu.
Namun kali ni bila KakRaja melawat tempat ginseng, KakRaja tertarik dengan keunikan Ginseng Korea ni.
Produk dan Tumbuhan Kawalan
Ginseng Korea ni sangat istimewa dari segi penanaman, penjagaan dan pemprosesannya sehingga penjualannya sangat dikawal oleh kerajaan Korea. Malah kami tak dibenarkan untuk mengambil gambar atau video semasa penerangan diberi.
KakRaja kurang pasti tentang ginseng lain, tapi Ginseng Korea ni mulanya ditanam di tanah rata. Benih ginseng untuk ditanam didapati daripada Ginseng Berry yang berwarna merah.
Bila menjangkau usia pokok ke 4 tahun dan masih dalam tumbesaran yang sihat, pokok-pokok ginseng akan dipindahkan ke tanah lebih tinggi, 400m sampailah umur pokok ginseng 6 tahun.
Pokok-pokok ginseng yang tumbesaran tak berapa bagus akan dituai terus dan diproses untuk dieksport, atau dijadikan makanan atau minuman tambahan, seperti yang selalu kita lihat sup ayam ginseng, teh ginseng dan sebagainya.
Manakala ginseng yang kita lihat dieksport ke luar Korea itu pula juga adalah ginseng yang belum cukup haul 6 tahunnya. Ia adalah ginseng yang belum matang, masih berusia hanya 1 hingga 4 tahun.
Semua Ginseng yang matang sihat berumur 6 tahun ni sangat dikawal oleh kerajaan Korea. Ianya memang tidak dieksport. Pengguna perlu pergi ke Korea untuk mendapatkan Ginseng 6 tahun ni.
Ginseng Ada Jantina?
Ha kenalan semua jangan tertipu pulak dengan rupa paras Ginseng ni tau. Ia bukanlah lelaki mahupun perempuan. Namun begitulah rupa Ginseng yang dah cukup umur matangnya 6 tahun.
Bahagian yang paling bagus sekali untuk dimakan untuk kesihatan, adalah bahagian tengah badannya tu. Di situlah khasiat Ginseng yang paling padu sekali. Manakala bahagian bawah yang berjurai-jurai tu kurang sikit dan selalunya akan diproses untuk penggunaan harian biasa dalam masakan dan minuman.
Mengenali Kualiti Ginseng
Senang saja nak mengenali usia Ginseng ni. Ginseng yang baru berumur 1 tahun tak ada cabang. Batang pokoknya 1 saja lurus ke atas. Pokok Ginseng yang berusia 2 tahun akan mempunyai 2 cabang dan 2 helai daun pada setiap cabang. Yang berusia 4 tahun pula akan mempunyai 4 cabang dan 4 helai daun di setiap cabang. Begitulah seterusnya.
Kualiti Ginseng pula akan digred kan mengikut Heaven, Earth dan Good. Gred Ginseng yang paling bagus dan paling mahal sekali ialah Gred 6 Heaven (usia matang Ginseng & sangat berkualiti). Gred 6 Heaven inilah yang sangat dikawal penjualannya oleh kerajaan Korea. Jangan risau kenalan semua, takkan ada gred ginseng neraka.
Ginseng yang tinggi kualitinya tidak akan memberi panas badan seperti tanggapan orang yang biasa. Banyak kelebihan mengambil Ginseng ni, termasuklah mengurangkan masalah respiratori, hidung sensitif dan resdung. Kerana sebab inilah juga KakRaja terpaksa memborong Ginseng Korea Gred 6 Heaven ni untuk anak lelaki KakRaja.
Macam tu lah.
Leave a Reply